Thursday, April 09, 2009
Wednesday, April 08, 2009
hakikat pemergian baginda
berikut adalah rakaman peristiwa wafatnya baginda rasululLah sallallahu 'alaihi wa sallam yang tercinta sebagaimana dinukilkan di dalam rahiq al-makhtum karangan syeikh safiyyurRahman al-mubarakfuri.tak ada ummati ummati.. tak ada kisah pelik bin ajaib. hanya lah seorang hambaNya yang kembali ke pangkuan Ilahi.
salinan bab yang sama dari terjemahan e-book [download di sini]:
*****************
NAZAK
Justeru aku bertanya: Mahukah ku ambil untukmu Rasulullah? Rasulullah (s.a.w) pun mengangguk kepalanya, kemudian ku berikan siwak kepada Baginda, tetapi ianya keras sedikit dan ku berkata: Biarkan ku lembutkannya? Baginda menganguk kepalanya, dengan itu ku pun melembutkannya, maka Rasulullah (s.a.w) pun bersugi dengannya". Dalam satu riwayat lain bahawa Baginda bersugi dengan sepuas-puasnya, pada masa itu terdapat sebuah bijana di hadapan Rasulullah berisi air di mana Baginda memasukkan tangannya untuk menyapukan air ke mukanya sambil berkata yang bermaksud: "Sebenar kematian ini ada sakarahnya" - al-Hadith.
Tidak berapa lama selepas Baginda selesai menyugi giginya, Rasulullah pun mengangkat tangannya ke langit atau jarinya diikuti dengan renungan matanya ke atas, disusuli dengan gerakan bibirnya. Aisyah telah mendengar ungkapan terakhir yang dilafazkan oleh Rasulullah (s.a.w) seperti berikut :
"Bersama-sama dengan mereka yang telah Engkau kurniakan dan golongan para nabi, siddiqin, syuhada' dan salihin, Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah daku dan kasihanilah daku, letakkanlah daku dengan Kekasih yang Tertinggi, Ya Allah Ya Tuhanku Kekasih yang Tertinggi."
Baginda mengulangi lafaz yang terakhir sebanyak tiga kali dan tangan Baginda pun layu turun ke bawah, maka Baginda pun terus bersama Kekasih Yang Tertinggi. "Sesungguhnya kita ini bagi Allah dan sesungguhnya kepadaNya kita semua kembali".
Peristiwa kewafatan Rasulullah ini berlaku ketika pagi sudah meningkat di hari Isnin dua belas (12) Rabiulawwal tahun kesebelas (11) Hijrah di waktu usia Rasulullah genap enam puluh tiga (63) tahun dan empat (4) hari.
*****************
>> versi english [download di sini] pula menyebutkan:
*****************
THE PROPHET BREATHES HIS LAST:
When the pangs of death started, ‘Aishah leant him against her. She used to say: One of Allâh’s bounties upon me is that the Messenger of Allâh (Peace be upon him) died in my house, while I am still alive. He died between my chest and neck while he was leaning against me. Allâh has mixed his saliva with mine at his death. For ‘Abdur Rahman — the son of Abu Bakr — came in with a Siwak (i.e. the root of a desert plant used for brushing teeth) in his hand, while I was leaning the Messenger of Allâh (Peace be upon him) against me. I noticed that he was looking at the Siwak, so I asked him — for I knew that he wanted it — “Would you like me to take it for you?” He nodded in agreement. I took it and gave it to him. As it was too hard for him, I asked him “Shall I soften it for you?” He nodded in agreement. So I softened it with my saliva and he passed it (on his teeth).
In another version it is said: “So he brushed (Istanna) his teeth as nice as he could.” There was a water container (Rakwa) available at his hand with some water in. He put his hand in it and wiped his face with it and said: “There is no god but Allâh. Death is full of agonies.”
As soon as he had finished his Siwak brushing, he raised his hand or his finger up, looked upwards to the ceiling and moved his lips. So ‘Aishah listened to him. She heard him say:
“With those on whom You have bestowed Your Grace with the Prophets and the Truthful ones (As-Siddeeqeen), the martyrs and the good doers. O Allâh, forgive me and have mercy upon me and join me to the Companionship on high.”
Then at intervals he uttered these words: “The most exalted Companionship on high. To Allâh we turn and to Him we turn back for help and last abode.” This event took place at high morning time on Monday, the twelfth of Rabi‘ Al-Awwal, in the eleventh year of Al-Hijrah. He was sixty-three years and four days old when he died.
*****************
p/s: hati muslim mana yang tidak remuk membayangkan kesedihan di saat pemergian rasululLah..
sedikit tambahan saguhati dari sahabat nik abduh ( http://drabduh.blogspot.com/ ) via ym. capaian ceramah oleh syeikh mahmud al-masry..
Labels: wafat
Friday, April 03, 2009
khatib cemerlang khutbah gemilang
syukur
dimulakan dengan kisah yang suatu masa dahulu diceritakan oleh baginda nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam berkenaan tiga sekawan dari bani israil yang di mana setiap seorang dari mereka ditimpa kecacatan. seorang menderita sopak, seorang kepalanya botak dan seorang lagi matanya buta.
merekapun didatangi oleh malaikat lalu masing-masing dikurniakan nikmat hilangnya kecacatan dan diberi selembah kekayaan. di atas norma kehidupan yang penuh dengan ujian, setiap mereka diuji.
sekali lagi malaikat mendatangi mereka. dalam keadaan sebagaimana mereka cacat dahulunya. memohon belas dari ketiga mereka. dengan meminta sedikit dari lembah nikmat yang mereka peroleh.
dua ditumbuhi sifat bongkak. tidak beralah walaupun yang diminta hanya seekor dua dari selembah gembalaannya. malah enggan mengaku dirinya pernah di dalam kegelapan. juga angkuh mengatakan diri sendiri sudah sedia beruntung sejak sekian lama.
tetapi tidak yang satu. yang dahulunya buta. dia menyedari hakikat dirinya diberi nikmat. dia insaf akan kurniaan tuhan. tidak pernah lupa bahawa dulu dia cacat kemudian diberikan berkat dari yang maha esa. tanpa mendongak angkuh, dia mengatakan kepada sang malaikat, "ambil sesukamu.. dan tinggalkan sesukamu"
sang malaikat menjawab, "simpanlah hartamu. sesungguhnya kalian sedang diuji oleh Allah. dan Allah telah redha kepadamu. dan murka kepada dua temanmu"
kisah yang yang lama tetapi tetap kekal berkualiti kerana nilainya yang melangit buat manusia. khususnya umat islam.
(disalin dari perisian maktabah syamilah)
khutbah mantap
mimbar masjid hari ini tidak lagi menjadi perudum motivasi sebagaimana minggu lalu. sekali lagi, syeikh as-sa'diy memberikan sengatan melalui ucapan khutbah beliau yang tegas dan penuh tenaga.
setiap pasang mata menumpu ke arahnya tanpa ragu. badan yang asalnya menghadap kiblat beralih arah memberi tumpuan kepada sang khatib. sebagaimana peminat-peminat sedang mendengatkan nyanyian live dari artis kesayangannya. itulah yang terjadi di ruang solat masjid uia hari ini.
setiap baris lafaz yang keluar dari mulutnya jelas memberikan peringatan tanpa terlepas dari pendengaran. seolah-olah tidak satupun perkataan yang keluar dari mulutnya kecuali beliau benar-benar ingin memBERI kepada jemaah jumaat masjid sultan ahmad shah.
tidaklah ruang mimbar itu dijadikan medan latihan untuk pengucapan awam. sebaliknya dijadikan ianya medan perkongsian ilmu. oleh mereka yang berwibawa dan diakui ketokohannya.
difokus penyampaian penyuburan iman. mengingatkan manusia akan hakikat kewujudan mereka. dan ke mana mereka akan kembali. diberi tumpuan kepada persoalan umum berkaitan iman dan taqwa. buat bekal menuju alam yang kekal selamanya.
kerana yang mendengarkan itu dari segenap golongan. veteran, remaja, professional, staf sokongan, dan ramai lagi. diraikan semuanya. tanpa mengira umur, latar belakang, bangsa dan sebagainya.
perihal pendengar khutbah
sedikit terkilan melihatkan mereka yang terpinga saat khutbah disampaikan. sedikitpun tak mampu memahami apa yang disampaikan. kerana asingnya bahasa yang digunakan. seindah-indah bahasa, tetap tidak dapat berfungsi jika yang mendengar tidak memahami. pelajarilah bahasa arab. peluang luas terbuka di masa kini. nescaya anda akan jatuh cinta dengannya.. pastinya!.
sayang juga melihatkan ramai yang tak mampu memberi tumpuan. lebih berminat untuk membaca sms yang baru diterima mengkhabarkan perkembangan terbaru politik. atau mengusik rakan sebelah yang sedang tersengguk-sengguk. hasilnya, jumaat itu menjadi sia-sia.
Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa berwudhu’ lalu dia memperelok wudhu'nya, kemudian dia mendatangi shalat Jum’at, dilanjutkan dengan mendengar dan menghayati khutbah, maka dia akan diberikan ampunan atas dosa yang dilakukan antara hari itu sampai pada hari Jum’at berikutnya dan ditambah dengan tiga hari. Dan barangsiapa memegang (bermain-main kerikil) maka sialah-sialah Jum’at-nya.” (HR Muslim)bermain kerikil? mungkin sekarang boleh diterjemahkan dengan menaip sms, menggulung-gulung benang sejadah, mengusik-usik semut merayap berhampiran dan berbagai lagi ativiti 'kecil' yang tanpa kita sedar ianya telah mengurangkan 'markah' jumaat kita pada hari tersebut sampai ke tahap '0' = zero = nihil.
apa nak jadi?
belum lagi yang tak solat jumaat..?? hm, itu masuk bab lain ya..
pesanan ringkas dari baba ali
Wednesday, April 01, 2009
jagalah disiplin ini..
disalin dari: nasirussunnah.wordpress.com
Sebenarnya sudah lama saya ingin menulis tentang perkara ini, namun cuma hari ini saya ada sedikit kelapangan, alhamdulillah.. Perkara yang saya maksudkan adalah berkenaan disiplin kita dalam beragama, terutama ketika kita berbicara tentang hadits-hadits Nabawi..
Saya melihat ramai di kalangan kita yang suka mengemukakan “hadits Nabi S.A.W,” kemudian di belakang “hadits” tersebut ditulis “AL-HADIS”.. Mungkin bagi sesetengah pihak tidak melihat ini sebagai satu kesalahan, tetapi bagi saya, seelok-eloknya perkara sebegini diperbetulkan.. Ini kerana banyak yang didakwa sebagai “AL-HADIS” itu sebenarnya bukanlah hadits Nabi S.A.W..
Telah tsabit satu hadits dari Nabi S.A.W, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab shahihnya, tentang keadaan di akhir zaman, di mana akan ada pendusta (dajjalun kadzdzabun) yang akan membawakan hadits palsu.. Dalam hadits tersebut, Nabi S.A.W memberikan isyarat kepada kita supaya berhati-hati dalam dakwaan sesetengah pihak memalsukan hadits, “La yudhillunakum, wa la yaftinunakum - Jangan biarkan mereka menyesatkan kalian, dan jangan biarkan mereka menimpakan fitnah atas kalian.“
Namun sayangnya, tidak ramai antara kita yang sedar tentang perkara ini, dan secara tidak sengaja telah terjerumus ke dalam fitnah tersebut.. Bahkan lebih parah apabila mereka bukan sahaja percaya bahawa “hadits” tersebut adalah hadits, tetapi mereka turut memainkan peranan mereka dalam menyebarkan “hadits” tersebut..
Atas kesedaran saya tentang perkara ini, saya ingin mengajak teman-teman sekalian untuk menjaga beberapa disiplin dalam perkara ini..
Pertama: Apabila anda ingin memetik mana-mana hadits, alangkah baiknya sekiranya anda dapat menyertakan daripada kitab mana hadits tersebut diambil.. Misalnya dengan menulis, “Hadits Riwayat Al-Bukhari”, “Hadits Riwayat Abu Dawud”, dll..
Perkara ini penting dalam memastikan tiadanya sebarang unsur penipuan dalam memetik mana-mana hadits Nabawi.. Anda harus sedar, di sana adanya sekelompok manusia yang berniat buruk terhadap agama ini, lantas mereka mengatakan, “Hadits ini ada dalam kitab itu dan ini,” namun setelah diperiksa kembali, ternyata dakwaan tersebut tidak benar..
Begitu juga ketika sesuatu hadits yang dibacakan itu agak janggal bagi kita.. Sesuatu hadits yang tidak pernah kita dengar, tidak bererti hadits itu tidak wujud atau pun tidak shahih.. Jangan pula atas nama “sikap berhati-hati”, tanpa kita sedari kita telah menolak sebahagian hadits shahih.. Oleh itu, kaedah ini secara tidak langsung akan memudahkan urusan kita dalam mencari hadits tersebut dalam kitab tertentu..
Kedua: Apabila anda memetik mana-mana hadits, alangkah baiknya sekiranya anda boleh membawakan mana-mana pendapat ulama yang muktabar mengenai status hadits tersebut, sama ada shahih, hasan, dha’if, maudhu’, dll.. Ini bagi menghindarkan kita daripada menjadi agen penyebaran hadits palsu dalam masyarakat Islam hari ini..
Al-Imam Ibnu Hibban dalam kitab shahihnya (iaitu Shahih Ibnu Hibban), telah meletakkan satu pasal yang beliau namakan: “Pasal Menyebut Ketetapan Memasuki Neraka Bagi Sesiapa yang Menyandarkan Sesuatu kepada Al-Musthafa S.A.W, Sedangkan Dia Tidak Mengetahui Tentang Keshahihannya.”
Al-Imam Ibnu Hajar Al-Haitsami ditanya tentang seorang khatib yang menaiki mimbar setiap Jumaat dan meriwayatkan hadits-hadits tanpa diterangkan sumber dan kedudukannya, maka jawab beliau: “Hadits-hadits yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadits, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadits. Ada pun jika dia hanya bergantung kepada kitab atau ucapan yang penulisnya bukan ahli hadits, maka tidak halal (berbuat demikian). Sesiapa yang melakukannya ditakzirkan dengan keras. Inilah kebanyakan khatib. Mereka semata-mata hanya melihat khutbah yang mengandungi hadits-hadits lalu mereka pun hafal. Mereka berkhutbah menggunakan hadits-hadits tersebut tanpa mengetahui asal usulnya. Maka wajib atas pemerintah di setiap negeri menghalang para khatib daripada berbuat demikian.”
Seorang ulama hadits Syam, Badruddin Al-Hasani telah berkata: “Tidak harus menyandarkan sesebuah hadits kepada Rasulullah S.A.W kecuali apabila dinyatakan keshahihannya oleh salah seorang huffaz yang dikenali (huffaz ialah orang yang begitu luas ilmunya tentang hadits dan seni ilmunya, sehingga apa yang diketahuinya mengenai hadits dan kecacatan hadits lebih banyak daripada apa yang tidak diketahuinya). Sesiapa yang berkata: ‘Rasulullah telah bersada…’ sedangkan dia tidak tahu keshahihan hadits tersebut menerusi salah seorang huffaz, dibimbangi dia termasuk dalam hadits ‘Sesiapa yang berdusta atasku apa yang tidak aku ucapkan, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka’.”
* * * * * * * * * *
Mungkin ada yang akan berkata, “Kalau begitu, hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh menyebarkan hadits, sedangkan kami yang tidak mempunyai ilmu tidak dapat berbuat demikian..” Saya katakan, cara yang paling mudah untuk memenuhi kedua-dua syarat di atas adalah dengan memetik hadits-hadits yang tertulis dalam Shahih Al-Bukhari dan juga Shahih Muslim, kerana hadits-hadits yang terkandung dalam kedua-dua kitab tersebut telah disepakati keshahihannya oleh para ulama (walau pun ada beberapa hadits yang telah dipertikaikan, namun majoriti ulama mengatakan semua hadits adalah shahih, wallahu a’lam)..
Ini bukanlah bererti saya menafikan wujudnya hadits-hadits shahih dalam kitab-kitab lain, cuma dalam kitab-kitab lain (seperti Sunan At-Tirmidzi, Sunan Abu Dawud, Sunan An-Nasa’i, Sunan Ibnu Majah, dll) didapati terkandung hadits-hadits yang tidak shahih.. Oleh itu, cara yang paling mudah, rujuklah Shahih Al-Bukhari dan Shahih Muslim..
* * * * * * * * * *
Mungkin ada juga yang akan berkata, “Kenapa perlu besar-besarkan perkara ini.. Orang nak buat baik, kenapa kita nak menghalang?” Saya katakan, ada satu riwayat dalam Sunan Ad-Darimi, dengan sanad yang shahih, yang menceritakan bagaimana Ibnu Mas’ud R.A melarang sekelompok manusia yang berzikir kepada Allah dalam keadaan yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi S.A.W..
Menurut kelompok tersebut, mereka hanya ingin berbuat baik.. Jawab Ibnu Mas’ud kepada mereka: “Wa kam min muridillilkhair lan yushibahu - Dan betapa ramai yang bertujuan baik tetapi tidak menepatinya.”
Selain itu, sekiranya anda membaca Shahih Al-Bukhari mahu pun Shahih Muslim, ada satu riwayat yang menceritakan bahawa ada sahabat Nabi S.A.W yang ingin berpuasa sepanjang tahun, ada pula yang ingin solat malam tanpa tidur, dan ada juga yang ingin menjauhi wanita untuk menumpukan ibadah kepada Allah.. Ketiga-tiga amalan tersebut tidaklah dilakukan oleh mana-mana manusia, melainkan sudah pasti niat mereka ingin mendekatkan kepada Allah semata-mata.. Namun, Rasulullah S.A.W melarang ketiga-tiga sahabat tersebut daripada melakukan amalan-amalan tersebut.. Ternyata, niat yang baik, sekiranya tidak bertepatan dengan sunnah Nabi S.A.W, tidak akan diterima oleh Allah..
* * * * * * * * * *
Mungkin ada pula yang akan berkata, “Bagaimana pula sekiranya kita memberikan ceramah kepada masyarakat umum, misalnya kepada orang-orang kampung, yang tidak mengetahui tentang perkara tersebut, perlukah kita menyebutkan ‘hadits ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari’ dan sebagainya? Mungkin mereka akan lebih pening sekiranya perkara ini disebutkan..”
Sekiranya itu adalah situasinya, maka menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan bahawa hadits tersebut memenuhi kedua-dua syarat di atas, kemudian katakanlah, “Nabi pernah bersabda…”
Ingatlah kata-kata Ibnu Hajar Al-Haitsami di atas: “Hadits-hadits yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadits, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadits.”
Begitu juga dengan kata-kata Badruddin Al-Hasani: “Tidak harus menyandarkan sesebuah hadits kepada Rasulullah S.A.W kecuali apabila dinyatakan keshahihannya oleh salah seorang huffaz yang dikenali.”
* * * * * * * * * *
Wallahu a’lam..
-mrblinc-
jakarta barat
Sunday, March 22, 2009
panduan berinteraksi dengan khilaf ulama
disalin dari: http://abuumair1.wordpress.com/2009/01/04/panduan-berinteraksi-dengan-khilaf-ulama/
Sebagai orang awam yang bukan bertaraf mujtahid, kadangkala kita merasa kebingungan apabila berdepan dengan suatu masalah feqah yang ada perselisihan pendapat. Kerana bagi orang awam, apabila berdepan dengan satu masalah feqah yang tidak diketahui hukumnya, dia mesti merujuk kepada para ulama untuk mendapatkan penyelesaian. Inilah yang diarahkan oleh al-Quran dalam ayat yang bermaksud, “Maka bertanyalah kepada ahli zikir (ulama) seandainya kamu tidak mengetahui” (Al-Nahl: 43).
Tetapi, bagaimana pula jika antara jawapan para ulama, para mufti, atau para ustaz terdapat percanggahan antara satu sama lain? Yang mana satukah yang paling betul untuk dipegang? Adakah boleh dia memilih mana-mana pendapat mengikut kesesuaian dirinya? Atau dia wajib memilih pendapat yang paling sahih? Jika wajib memilih pendapat paling sahih, bagaimana seorang awam mampu menilainya sebagai sahih?
Penyelesaian kepada persoalan ini ialah perlunya kita mengetahui kaedah berinteraksi dengan khilaf ulama. Kaedah-kaedah ini dibuat supaya orang awam tidak kebingunan dan akhirnya mengambil jalan mudah iaitu pilih mana-mana pendapat yang disukai. Memilih mana-mana pendapat tanpa ada prinsip adalah satu tindakan yang salah. Ia ditegah oleh sekalian ulama.
Ibn as-Solah berkata, “Ketahuilah, sesiapa yang memadai dalam fatwa dan amalannya dengan mengikuti satu-satu pendapat dalam suatu masalah, dan beramal dengan mana-mana pendapat yang disukai, tanpa melihat dan bergantung kepada kajian dalam mentarjihkannya, maka sesungguhnya dia adalah jahil dan melanggar ijmak”.
Manhaj yang perlu dilalui dalam menyaring dan memilih pendapat para ulama, ialah berpandukan kaedah-kaedah di bawah:
PERTAMA: Apabila terserlah bahawa satu-satu pendapat lebih kuat dan rajih berbanding pendapat-pendapat lain, berdasarkan dalil masing-masing, maka hendaklah memilih pendapat yang paling kuat dalilnya.
Bagi orang awam, dua orang mujtahid yang berselisih pendapat diibaratkan sebagai dua dalil yang bercanggahan. Sebagaimana seorang mujtahid wajib membuat pemilihan antara dalil-dalil, begitulah seorang awam mesti membuat pemilihan antara pendapat dua orang mujtahid.
Timbul persoalan, bukankah orang awam tidak mampu untuk mentarjih (memilih pendapat)? Ya, Orang awam tidak dituntut mentarjih seperti kaedah mujtahid mentarjih. Ia cukup rumit. Orang awam hanya mentarjih antara dua pendapat yang muktabar. Lagipun, tidak benar mengatakan orang awam langsung tidak mempunyai kemampuan memilih atau memahami dalil. Walaupun tidak menyamai taraf mufti dan mujtahid, sekurang-kurangnya dengan mendengar hujahan mereka, seorang awam dapat membuat keputusan pendapat mana yang dilihat kuat.
Jika tidak mampu untuk melihat kekuatan pendapat berdasarkan hujahan masing-masing, maka hendaklah berpindah kepada kaedah seterusnya.
KEDUA: Mengambil pendapat majoriti ulama, dan ditarjihkan oleh ramai ahli ilmu. Kerana dengan cara memilih pendapat kebanyakan ulama, kemungkinan untuk berlaku kesilapan adalah lebih tipis, berbanding dengan mengambil pendapat yang dipilih oleh segelintir atau beberapa ulama sahaja.
Jika kaedah ini tidak dapat diaplikasi disebabkan bilangan yang sama atau hampir sama, sehingga tidak kelihatan salah satu pendapat mempunyai kelebihan dari sudut bilangan mujtahid yang mendokongnya, maka hendaklah berpindah kepada kaedah yang seterusnya.
KETIGA: Mengambil pendapat ulama yang dilihat lebih tinggi ilmunya dan kelihatan lebih warak dan bertaqwa daripada yang lain. Kerana taqwa kepada Allah adalah salah satu faktor mendapat petunjuk Allah kepada pendapat yang lebih benar.
Ketinggian ilmu dan ketaqwaan seseorang ulama boleh diketahui berdasarkan kemasyhurannya, rujukan penuntut ilmu terhadapnya, atau melalui pengalaman kita mendengar dia menjawab soalan dan menyebut hujahan.
Jika orang awam tidak mengetahui perihal keilmuan dan ketaqwaan antara muft-mufti, dan baginya mereka sama sahaja, maka hendaklah berpindah kepada kaedah seterusnya.
KEEMPAT: Mengambil pendapat yang paling berjaga-jaga atau paling selamat (Ihtiyath). Contohnya, mufti A berfatwa hukum sesuatu masalah ialah wajib, dan mufti B berfatwa hukumnya sunat. Berdasarkan kaedah ini, hendaklah memilih pendapat mufti A kerana ia lebih berjaga-jaga. Begitu juga antara fatwa haram dan harus, hendaklah memilih fatwa haram kerana lebih selamat.
Diriwayatkan bahawa Al-Laits bin Saad berkata, “Apabila datang perselisihan, kami mengambil yang paling ihtiyath (berjaga-jaga atau selamat)”.
Jika kaedah mengambil langkah jaga-jaga tidak boleh digunakan kerana tidak jelas, atau mengambil pendapat yang berjaga-jaga membawa masyaqqah, maka bolehlah berpindah kepada kaedah terakhir.
KELIMA: Mengambil pendapat yang paling mudah antara pendapat-pendapat yang muktabar. Kerana dimaklumi bahawa syariat Islam dibina di atas prinsip memudahkan dan tidak memberatkan umat. Banyak ayat-ayat Quran dan hadis yang menjelaskan prinsip ini. Nas-nas itu menjadi saksi bahawa boleh mengambil pendapat yang paling ringan dalam situasi kepayahan.
Tetapi kaedah memilih pendapat paling ringan hanya boleh diaplikasi setelah keempat-empat kaedah sebelum itu tidak dapat digunakan. Jangan terlalu mudah melangkah kaedah-kaedah tersebut untuk mencapai kaedah terakhir ini. Seseorang yang terlalu kerap menggunakan kaedah mengambil pendapat mudah, perlu memperbanyakkan muhasabah adakah dia benar-benar memahami manhaj ini?
PENUTUP:
Demikian manhaj yang perlu dilalui oleh seseorang yang bukan mujtahid dalam berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat di hadapannya. Lima kaedah yang perlu diikuti, supaya pemilihan satu-satu pendapat adalah berdasarkan prinsip dan bukan hawa nafsu semata-mata. Lima kaedah tersebut ialah:
i- Yang disokong oleh dalil.
ii- Yang disokong oleh majoriti.
iii- Yang lebih alim dan bertaqwa.
iv- Yang lebih berjaga-jaga.
v- Yang lebih ringan.
Wallahu A’lam.
Rujukan:
- Ikhtilaf Al-Mufteen, oleh: as-Syeikh as- Syarif Hatim
Labels: khilaf
Wednesday, December 17, 2008
bahasa manis
agak sakit untuk menulis bila terlalu banyak perkara yang bermain di fikiran. setiap satu ingin diluahkan tapi tak berjaya. kerana setiap mainan fikiran itu buntu tak berpenghujung. masih terawang-awang mencari erti sebenar di sebalik kehadirannya.
akhirnya, serangkap kata dari akh razak membuatkan saya terpana seketika. mungkin dah lama terlakar di shoutbox tersebut. cuma, detik ini ia memberikan satu ketukan kepada saya untuk meluahkan buah fikiran saya.
rosak bahasa
semudah bahasa itu dipelajari sejak kita dilahirkan sehingga kita dewasa, semudah itu jugalah bahasa diperlekehkan. menguasainya dianggap remeh. menyampaikannya dianggap membuang masa. mungkin tak semua. tapi dalam tak sedar, ramai yang menyatakan persetujuan tanpa angguk dan kata setuju.
kata-kata potong. perkataan kesat. percampuran bahasa. kebanyakannya merosak. mengakibatkan satu pencemaran. yang akhirnya membinasakan sebuah bangsa. yang satu waktu dahulu diHIDUPkan oleh bahasa yang sama.
kerana beralasankan masa dan keadaan semasa. tiada yang peduli. yang penting.. 'ko fhm pe ak ckp'. yang penting ruang kotak sms itu tak terlebih. yang penting jimat.
tapi, harga yang perlu dibayar ternyata lebih besar. bangsa hilang identitinya. generasi kemudian memandang bahasa itu tiada nilainya. bila menulis banyak silapnya. kerana hidupnya penuh dengan kata singkat seperti ko, ak, apsl, lak, drp, cner dan lain-lain lagi. bila nak mengeja pun lupa. bila nak dicari perkataan yang dimaksudkan tak jumpa.
kerana bahasa mula dipandang hina.
bahasa punya daya pemikat
jika manis susun katanya dan tertib atur intonasinya. ianya bakal memikat hati yang mendengarnya. menarik jiwa yang membacanya. melunturkan ego yang menyelubungi dirinya. bukankan ini manhaj dakwah yang dipelihara Rasulullah. kata yang manis dan singkat dari bibir baginda mampu menghasilkan berjilid tulisan buat tauladan umat.
sebagaimana Quran diturunkan di dalam bahasa yang indah memikat. saban ribuan tahun berlalu. tidak pernah bahasanya tercemar. malah menjadi pemangkin kebangkitan bangsa yang agung. memperluas empayar. disegani seluruh mata tamadun manusia.
sehinggalah sekarang. bahasa al-Quran tetap kekal indah. dan tidak pernah ada insan yang mempertikaikan kekunoannya kerana lamanya bahasa tersebut. malah ia tetap dipuji dikaji kerana masih banyak hikmah yang belum terungkai di sebalik kalimat-kalimat yang penuh siratan itu.
itulah kehebatan mengekalkan keaslian bahasa.
contoh
mengingat kembali pesan puan ainon. beliau mengambil contoh bagaimana tulisan-tulisan seperti Lord of the Rings dan Harry Potter. yang asalnya hanya tulisan penuh khayalan. tapi kerana indah bahasanya. dengan mudah ia diterima dunia. sehingga berjaya diputar di layar perak. menjadi filem-filem yang menarik jutaan peminat seluruh dunia.
kerana apa? kerana bahasanya mudah untuk difahami. tidak memihak kepada satu-satu golongan sahaja. penterjemahan mudah dilaksanakan. dan umur karya tersebut kekal panjang. sehingga mampu diulang cetak. dan filemnya tetap memberikan impak hebat walaupun berulang kali ditonton.
melihat jiran tetangga melahirkan novel Ayat-ayat Cinta dan Laskar Pelangi. diulang cetak berpuluh kali kerana tak putus tali pembacanya. kerana bahasanya indah dan berkualiti. sehingga mampu menembusi rantau nusantara. dan akhirnya juga turut mencapai peringkat difilemkan. nilai-nilai estetika kekal menular melalui bahasanya yang terjaga. tidak tercemar oleh pesatnya globalisasi yang kononnya menghambat kita supaya tak ketinggalan.
tak tinggal juga hasil karya seniman P. Ramlee melalui filem-filemnya yang kekal dipuja. berulang kali diputarkan. tak pernah kering gusi dibuatnya. walaupun hitam putih tetap menjadi layarnya.
antara faktor utamanya juga adalah bahasa. kekal tinggi tanpa dirosakkan.
perosak tak kekal
lihat sahaja sebarang karya yang rosak di sisi bahasanya. umurnya pendek. tidak dapat bernafas panjang. kerana ia hanya dapat dikenal buat satu waktu yang finit. dapat difahami oleh satu generasi yang jumud.
kerana bahasa yang rosak sering berubah mengikut aturan masa. pada waktu ini, satu perkataan baru yang mereka cipta dianggap signifikan. pada waktu yang lain perkataan baru pula menggantikannya.
mampukah
berapa ramai di kalangan kita mampu menulis satu muka surat dalam perisian microsoft word tanpa melakukan kesilapan pada ejaan atau struktur ayat. hatta diri ini pun tak terkeluar dari lingkungan tersebut.
ini sekadar menyiarkan apa yang saya rasakan perlu diberi perhatian di samping perkara-perkara lain. aspek bahasa yang sebenarnya signifikan tetapi di'anak tiri'kan kerana dianggap ketinggalan zaman.
akhir kata, 'cintailah bahasa kita'.
allahu a'lam
Saturday, November 29, 2008
pena mufti: hari terakhir mufti perlis
HARI ini adalah hari terakhir saya sebagai Mufti Perlis. Ini bererti, Pena Mufti kali ini adalah pena yang akhir daripada saya bagi ruangan ini. Menjelang 12 malam ini, maka tamatlah tugasan saya sebagai seorang mufti di Negeri Perlis. Insya-Allah, pada pukul 10.45 pagi esok saya akan bertolak ke United Kingdom bagi cuti sabatikal. Saya akan menyempurnakan – dengan izin Allah – kajian perbandingan mengenai tafsiran hadis antara fundementalis dengan orientalis.
Dua tahun sebulan saya menjadi mufti. Izinkan saya menceritakan sedikit pengalaman yang ringkas dalam tempoh tersebut. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, sekadar berkongsi pengalaman dengan para pembaca yang selalu setia. Jika ada yang baik boleh diambil manfaat, jika ada yang buruk, wajar dijauhi. Pada hari saya dijemput ke Perlis untuk menjadi mufti, saya berfikir panjang apakah yang mampu untuk saya lakukan mengenai perubahan kefahaman dan minda rakyat. Mampukah saya menghadapi corak warna yang sukar diubah yang menguasai suasana?
Beberapa hari selepas tawaran itu datang, Ramadan menjelang. Saya yang teramat lemah dan kerdil ini mengambil kesempatan dari dataran Ramadan yang penuh rahmat memohon pertolongan Allah agar diberikan kekuatan dan kemampuan agar saya mampu melakukan sesuatu. Selepas Ramadan, saya menerima tugas sebagai Mufti Perlis dan cuba melakukan tanggungjawab yang saya percaya saya patut lakukannya.
Bermula pada saat itu, saya belum berehat menghadapi berbagai-bagai isu yang saya utarakan atau yang muncul dalam masyarakat. Atas slogan: “Kembalikan imej Islam”, “Islam dibina atas dalil dan fakta”, “Islam itu mudah”, “Islam memusuhi kebodohan”, saya berkuliah di sana-sini, berucap dalam berbagai-bagai majlis, membentangkan kertas kerja, memberikan pandangan yang pelbagai di media, memenuhi berbagai-bagai rancangan televisyen, menghadiri pelbagai dialog, menulis sekitar lebih 100 artikel yang melahirkan berbagai-bagai diskusi sepanjang dua tahun, menghasilkan buku, membuka laman web yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan, berunding dan berbincang dengan pelbagai pihak, pertubuhan, artis, pelajar dan lain-lain.
Namun saya terus yakin, masih ada ruangan baki tenaga yang barangkali saya belum gunakan sepenuhnya. Ada waktu saya terbuang kerana bersembang dan ceria bersama rakan dan sahabat yang kadang-kala mengambil masa yang lebih daripada yang patut. Ada juga ruang waktu santai yang kadang-kala mungkin boleh untuk dikurangkan. Pun begitu dalam tempoh dua tahun itu saya juga beberapa kali demam yang disebabkan lebihan bebanan kerja. Memerah otak lebih penat daripada memerah tenaga. Alhamdulillah, tidak boleh dinafikan juga, sokongan Kerajaan Perlis yang lepas dan Istana Perlis yang memberi ruang serta tidak pernah mengongkong saya adalah antara faktor yang melancar segala usaha.
Merubah bukit dan gunung kadang-kala lebih ringan dari merubah minda manusia yang berakar umbi sekian lamanya. Bukit dan gunung jika diubah tidak akan bercakap, tetapi manusia jika kita ingin mengubah mindanya yang patut diubah, jika mereka tidak bersetuju, mereka bukan sahaja menolak, tetapi merencana untuk bertindak dan kita akan menghadapi padahnya. Bukit dan gunung tidak akan berdusta dan membuat cerita bohong mengenai kita, tetapi manusia yang tidak bersetuju akan melakukannya. Bukit dan gunung tidak akan hasad dengan kita, tetapi manusia jika dia hasad, segala kejadian dan cerita luar biasa akan tercetus.
Apapun saya rasa perubahan – alhamdulillah – telah berlaku dalam tempoh tersebut. Pelbagai lapisan rakyat yang berjumpa saya menyatakan sokongan. Ribuan e-mel sokongan diterima. Walaupun tidak dinafikan masih ada yang memusuhi, prejudis dan menganggap saya mengganggu periuk nasi dan kerusi empuk mereka yang selesa terutama sebilangan mereka yang berjawatan dalam agama dan politik.
Singkat
Dua tahun memanglah singkat. Hari ini saya telah menamatkan pusingan dan tugasan tersebut. Kepada Allah saya serahkan; agar diampunkan kelemahan dan diberi pahala jika ada kebaikan. Siapalah insan yang kerdil dan daif seperti saya untuk merasai diri telah menyempurnakan tugas. Bahkan saya yakin, masih ada ruangan yang patut saya sempurnakan, namun saya tidak memenuhinya. Maka apabila saya ditanya oleh wartawan yang pelbagai: “Apakah Dr. berpuas hati dengan misi yang dilakukan sepanjang dua tahun ini?” Jawapan saya, tentulah “tidak”. Saya mengharapkan Allah mengampuni kekurangan dan kelemahan saya.
Saya teringat Rasulullah SAW yang amat sempurna itu. Dalam khutbah baginda pada Hari Hajjatul Wada’, baginda bertanya lautan para sahabat yang hadir tentang tugasan yang telah dilakukan baginda. Baginda bersabda: “Kamu akan ditanya (oleh Allah) mengenaiku, apakah yang akan kamu jawab?” Kata mereka: “Kami menyaksikan bahawa engkau telah menyampaikan, telah menunaikan, dan telah menasihati”. Lalu baginda mengangkat jari telunjuk ke langit dan kemudian ke arah orang ramai dan bersabda: “Ya Allah! Saksikanlah” sebanyak tiga kali. (Riwayat Muslim).
Demikian seorang nabi yang penuh amanah menunaikan tanggungjawab, menyampaikan kebenaran dan menasihati umat, pun begitu masih inginkan kepastian dan kepuasan perasaan dengan bertanyakan orang ramai tentang tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh dirinya yang mulia. Siapalah kita di hadapan semua ini.
Mengubah minda dan pemikiran bukan kerja mudah. Ia memerlukan masa dan kesungguhan. Lebih daripada itu, ia memerlukan kesabaran dalam menghadapi ujian dan harga yang perlu dibayar untuk sebuah perjuangan. Kata ‘Abd Allah bin Mas‘ud ra: “Apa akan terjadi kepada kamu nanti apabila fitnah (penyelewengan) membaluti kamu. Anak kecil membesar dalamnya, yang dewasa pula telah tua bersamanya, lalu fitnah dijadikan sunnah (kebiasaan) sehingga jika ia diubah maka dikatakan “ini tindakan yang munkar”. Ditanya beliau: “Bilakah hal itu akan terjadi?” Jawabnya: “Apabila kurangnya mereka yang amanah dalam kalangan kamu, tetapi ramainya pemimpin (orang politik) kamu, kurangnya mereka yang faqih (memahami hakikat Islam) dalam kalangan kamu tetapi ramainya pembaca al-Quran, dan dipelajari ilmu bukan kerana agama (Allah) serta dicari dunia dengan amalan akhirat” (Riwayat ‘Abd al-Razzaq – lihat: al-Albani, Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, 1/26).
Ini realiti kita sebenarnya. Banyak perkara bukan agama dikatakan agama. Sehingga manusia sukar hendak membeza antara pendapat ustaz dengan nas al-Quran dan al-Sunnah yang sebenar. Lalu pendapat golongan agama, sekalipun tidak menepati nas tetap dimaksumkan. Contohnya seseorang tidak membeza antara perkahwinan yang sah, dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh Pejabat Agama.
Seperti cerita seorang kadi yang enggan mengesahkan perkahwinan yang diuruskan oleh kadi lain kerana pasangan tersebut menjemput kadi luar kawasan. Padahal Rukun Nikah sudah dipenuhi; ada pasangan, wali, saksi dan akad. Namun kerana fulus pendaftaran tidak sampai ke tangan kadi kawasan, maka pasangan itu selama beberapa tahun terpaksa merayu sijil nikah mereka. Menderitalah mereka dalam tempoh tersebut, lalu ada yang menganggap perkahwinan mereka tidak sah. Sama seperti perkahwinan di luar negara, bukan tidak sah tetapi tidak diiktiraf oleh kerenah birokrasi agama di Malaysia.
Begitu juga dalam hal-hal lain termasuk ibadah. Berapa banyak perkara adat Melayu disangka ajaran Islam sehingga jika kita berbeza kita akan dituduh dengan berbagai- bagai perkara. Demikian juga kita kekurangan tokoh yang amanah tetapi ramai pula yang hendak jadi ahli politik. Seterusnya betapa ramai para pembaca al-Quran atau penceramah dalam kalangan kita, tetapi sedikit pula yang benar-benar memahami hakikat Islam yang dihantar kepada umat manusia. Akhirnya kita gagal menampilkan imej Islam yang indah seperti yang diperjuangkan oleh baginda Nabi SAW.
Dalam rangkap yang akhir dalam riwayat ‘Abd Allah bin Mas‘ud ini dicerita pada zaman fitnah tersebut manusia menggunakan amalan agama untuk mendapatkan dunia. Lihatlah, bermula dengan upah sembahyang hadiah untuk jenazah, upah baca al-Quran untuk mayat sehingga perkara-perkara lain yang lebih besar yang lain. Semua itu projek duit atas nama agama. Pelbagai khurafat akhirnya muncul, sedangkan umat Islam dilanda bermacam masalah yang getir.
Saya yang maha lemah ini mencuba untuk memberikan pandangan dan pemikiran agar Islam dan umat Islam dalam negara ini dapat terus tampil relevan terutama dalam menghadapi perubahan zaman. Saya bukan tidak menyokong Majlis Fatwa Kebangsaan, tetapi kita perlukan kematangan dalam membimbing umat dan menghadapi zaman. Di samping fatwa yang ada, cubalah juga berikan fatwa yang dapat membangkitkan umat seperti memfatwakan berdosa umat Islam di negara ini membiarkan ekonomi dikuasai orang lain.
Alhamdulillah, media seluruh negara begitu baik membantu saya. Antara yang paling utama ruangan Pena Mufti ini telah dibaca oleh pelbagai pihak. Saya mendapat sahabat yang ramai kerana ruangan ini, termasuklah Tun Dr. Mahathir dan berbagai-bagai tokoh besar lain. Ribuan e-mel dan surat sokongan saya terima daripada rakyat Malaysia dalam dan luar negara, Muslim dan bukan Muslim. Juga para pembaca dari Singapura, Brunei dan Indonesia. Media-media luar juga sering menemuramah saya. Di mana saya pergi alhamdulillah, pelbagai lapisan menyatakan sokongan.
Prejudis
Walaupun pada peringkat awal banyak yang prejudis, namun anjakan masa dan perubahan hari telah membawa sebahagian besar mereka dapat menerima bahawa idea dan pandangan yang dikemukakan itu di luar dari daerah kepentingan mana-mana individu atau pihak. Namun saya tahu yang menolak terus menolak. Saya masih ingat, apabila RTM membuat wawancara khas secara langsung dengan saya yang dikendalikan oleh Datuk Johan Jaafar, apabila saya hadir ke mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan, pengerusinya seakan mengadakan sidang mahkamah khas mempertikai apa saya kemukakan. Namun kerana masa itu saya masih awal sebagai mufti, saya enggan mengambil langkah bertegang.
Bukan sedikit selepas itu pelbagai fitnah datang daripada mereka yang memegang ‘jenama agama’. Ada yang tuduh saya tumbuk imam di Perlis, ada yang kata Amerika bantu. Ada yang ‘sepangkat’ dengan saya dalam ceramahnya menceritakan bahawa saya pergi New Zealand keluar bas tidak pakai songkok dan naik bas terlewat. Itu memang benar, namun saya pasti apakah itu perlu dimasukkan ke dalam isi ucapan?
Sehingga pada saat-saat ini pun apabila saya memberikan sedikit alternatif tentang isu yoga, ada pihak yang mendakwa Ph.D saya bukan dalam bidang agama dan saya tidak layak memberi pandangan di hadapan golongan agama yang sudah lama berjawatan. Padahal Ph.D yang ditulis dalam Bahasa Arab itu dicetak oleh UIAM, dan cetakan kedua diterbitkan oleh pencetak buku ternama di Beirut, Lebanon. Saya malas hendak melayan itu semua dalam kesibukan mengejar waktu.
Bahkan rakan-rakan sejawatan beberapa negeri menghalang saya berceramah di negeri mereka. Selangor umpamanya membenar semua mufti berceramah, kecuali Mufti Perlis. Jakim pula tidak akan melantik saya dalam sebarang panel fatwa, walaupun mufti negeri lain dilantik. Saya menerima itulah realiti perjuangan dengan senyuman dan tidak kecil hati. Mereka yang lebih daripada saya, bahkan tidak dapat dibanding seperti para nabi dan ulama terdahulu menghadapi lebih berat daripada itu.
Saya teringatkan kata-kata Za‘ba dalam bukunya Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri yang Prof Diraja Ungku Aziz kirimkan kepada saya agar saya baca. Antara katanya yang pernah saya petik dahulu: “Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu – kala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandaimandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005).
Saya telah mencuba dalam masa dua tahun yang lepas. Terserah kepada rakyat menilainya. Jika ia tidak berjaya pun, saya mengharapkan Allah memberikan saya pahala. Ya! Ratusan e-mel saya terima membantah keputusan saya tidak mempertahankan jawatan mufti ini. Sehingga ada yang menulis “Selama ini saya amat menyanjungi kebijaksanaan tuan mufti, tetapi saya yakin tindakan tuan berhenti adalah merupakan keputusan yang silap, atau tuan mungkin tidak lagi memikirkan kepentingan umat Islam dan rakyat negara ini lagi.
Maafkan saya! Saya ingin katakan, saya akan terus berfikir untuk itu, bahkan saya akan cuba mewakafkan hidup untuk perjuangan yang panjang ini. Saya bukan lari meninggalkan medan perjuangan, tetapi saya insya-Allah akan pulang dengan kekuatan yang baru. Rakyat Perlis bersalam dengan saya pada Jumaat lepas dengan kesedihan dan tangisan. Saya bersyukur saya meninggalkan jawatan dengan penuh senyuman dan persahabatan. Sekurang-kurangnya mereka tahu saya telah cuba melakukan sesuatu untuk Perlis dan Malaysia.










